Berita Semasa

Jangan buat spekulasi, keluar kenyataan langkaui polis dalam kes bunuh Farah Kartini- KP Selangor

SUNGAI BULOH – Polis mengingatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan kenyataan melangkaui polis dalam kes penemuan mayat Nur Farah Kartini, 25, di sebuah ladang sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelbagai spekulasi timbul berhubung kes itu, termasuk oleh pengamal media sehingga menimbulkan kekeliruan.

“Polis nasihatkan semua pengamal media dan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan mana-mana kes yang masih lagi dalam siasatan, tidak menyebarkan sebarang gambar atau perkara yang boleh mengganggu siasatan.

“Boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana perkongsian atau penyebaran maklumat palsu, jelik dan mengancam.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama satu tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Nur Farah Kartini yang bekerja sambilan di sebuah syarikat sewa kereta di Tanjung Malim dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di kawasan perumahan di Tanjung Malim sekitar jam 8 pagi, hari terbabit.

Kelmarin, mayatnya ditemui dalam keadaan sudah mereput di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Felda Gedangsa di Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang.

Show More

Related Articles

Back to top button