Euro 2024: ‘It’s coming home’, England akhirnya pulang dengan piala?
SELEPAS berjaya membawa pulang trofi berprestij Piala Dunia 1966 ke England, kini mereka semakin hampir untuk mencipta sejarah pertama mereka dalam Kejohanan Eropah kali ini.
The Three Lions mengimpikan untuk menamatkan hampir enam dekad kekecewaan sejak kemenangan piala terakhir mereka pada tahun 1966, kini adakah akhirnya ‘it’s coming home’ akan tercapai?
Persoalan tersebut akan terjawab dalam perlawanan akhir Euro 2024 pada awal pagi Ahad ini.
Perjalanan England ke perlawanan akhir boleh diertikan sebagai keazaman yang tinggi walaupun persembahan mereka tidak memberansangkan.
Namun apabila menelusuri Euro 2024, mereka berjaya menjuarai Kumpulan C dengan kemenangan ke atas Serbia serta seri dengan Denmark dan Slovenia.
Kemudian perlawanan kalah mati, tidak juga memadam kemaraan mereka apabila berjaya menundukkan Switzerland dan Netherlands untuk bertemu Sepanyol di perlawanan akhir Euro 2024.
England dan Sepanyol telah bertemu sebanyak 27 kali, dengan England yang mempunyai rekod lebih baik memenangi 14 perlawanan, manakala Sepanyol hanya menang 10 daripadanya.
Pemain tumpuan England semestinya bintang Real Madrid, Jude Bellingham walaupun tidak berada pada prestasi terbaiknya, dia tetap muncul dalam detik penting yang menyelamatkan England, termasuk gol ‘bicycle kick’ pada minit ke-90 menentang Slovakia.
Skuad England turut dipenuhi dengan senjata rahsia yang mampu dimasukkan apabila diperlukan dari bangku simpanan seperti Cole Palmer, Eberechi Eze, Ivan Toney serta Ollie Watkins.
Walaupun prestasinya sedikit hambar, penyerang Bayern Munich, Harry Kane masih berjaya menjaringkan tiga gol, menjadikannya penjaring terbanyak dalam kejohanan ini untuk dia memenangi kasut emas.
Jika prestasi terbaik bintang-bintang England mampu ditampilkan pada awal pagi Ahad ini, England bakal mensajikan persembahan yang hebat ketika menentang Sepanyol.