Berita Semasa

Kemasukan murid bumiputera ke sekolah antarabangsa meningkat – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Jumlah kemasukan murid bumiputera ke sekolah antarabangsa meningkat 49.4 peratus dalam tempoh hampir enam tahun sejak 2019.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bukan bumiputera pula merekodkan peningkatan sebanyak 30.6 peratus bagi tempoh sama.

Beliau berkata sehingga 31 Mei 2024, jumlah murid di sekolah antarabangsa adalah seramai 88,951 dengan pecahan warganegara seramai 59,726 atau 67.1 peratus dan bukan warganegara seramai 29,225 (32.9 peratus).

“Pecahan warganegara mengikut kategori Bumiputera adalah 19.9 peratus dan bukan Bumiputera sebanyak 80.1 peratus,” katanya
menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-RAUB) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan statistik bilangan dan peratusan pelajar yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta sekolah antarabangsa mengikut pecahan tahun dan kaum dari 2004 hingga 2024.

Yu Hui juga bertanyakan statistik bilangan dan peratusan pelajar yang belajar di SJKC dan SJKT mengikut pecahan kaum berdasarkan tahunan dari tahun 2004 hingga 2024.

Dalam pada itu beliau berkata, perkara itu selaras dengan keputusan kerajaan berhubung dasar kemasukan murid warganegara ke sekolah antarabangsa seperti yang dimaklumkan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 1 Tahun 2012 : Pelaksanaan Dasar Kemasukan Murid Warganegara Malaysia ke Sekolah Antarabangsa bertarikh 18 Jun 2012.

Sementara itu Fadhlina berkata, bagi tempoh 10 tahun kebelakangan ini, SK menunjukkan peningkatan enrolmen murid bumiputera daripada 93.81 peratus pada 2014 kepada 95.12 peratus pada 2024, manakala murid bukan bumiputera pula menunjukkan penurunan daripada 6.19 peratus pada 2014 kepada 4.88 peratus pada 2024.

Beliau berkata, bagi murid SJKC pula, terdapat peningkatan murid bumiputera dapat dilihat daripada 11.67 peratus pada 2014 kepada 18.52 peratus pada 2024.

“Murid bukan bumiputera di SJKC menunjukkan penurunan daripada 88.33 peratus pada 2014 kepada 81.48 peratus pada 2024.

“Di SJKT, terdapat peningkatan enrolmen murid bumiputera dari 0.38 peratus pada 2014 kepada 0.49 peratus pada 2024.

“Kadar murid bukan bumiputera di SJKT adalah sekitar 99 peratus dari 2014 sehingga 2024,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button