
Syarikat di bawah program MySubsidi Diesel boleh pilih tiga pembekal minyak – Armizan
PUTRAJAYA – Syarikat pengangkutan yang berdaftar dalam sistem MySubsidi Diesel kini dibenarkan memilih sehingga tiga pembekal minyak daripada dua yang dibenarkan sebelum ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada syarikat pembekal minyak serta industri pengangkutan.
“Kita bersetuju untuk mempertimbangkan rayuan, kalau sebelum ini syarikat pengangkutan barangan dihadkan untuk mempunyai pilihan dua syarikat pembekal minyak (ketika mendaftar MySubsidi Diesel).
“Kita putuskan atas rayuan terbabit, kita akan beri opsyen tambahan iaitu boleh memilih tiga daripada lima syarikat pembekal minyak yang ditetapkan,” katanya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.
Hadir sama, timbalannya, Fuziah Salleh.
Terdahulu, Armizan dan Fuziah hadir dalam sesi libat urus bersama industri pengangkutan dan syarikat pembekal minyak bagi mendapatkan kerjasama daripada ahli persatuan pengangkutan darat.
Armizan turut menggesa pengusaha pengangkutan barangan yang sudah mendaftar dalam MySubsidi Diesel supaya segera memohon mendapatkan kad fleet.
Jelasnya, masih ada pengusaha yang mengambil keputusan ‘tunggu dan lihat’ dalam permohonan mendapatkan kad fleet terbabit, walaupun sudag berdaftar dibawah skim tersebut.
“Dalam sesi libat urus tadi, persatuan yang terkait dengan sektor ini membuat komitmen mereka untuk membuat hebahan dan galakkan kepada ahli mereka supaya terus memohon mendapatkan kad fleet sebaik sahaja mendaftar dalam MySubsidi Diesel.
“Ini kerana mereka yang mendaftar dalam sistem MySubsidi Diesel, akan terus menerima kelulusan segera sekiranya semua dokumen yang diperlukan adalah lengkap manakala permohonan untuk mendapatkan kad fleet (dengan syarikat pembekal minyak) mengambil masa yang sedikit lama,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan syarikat pembekal minyak supaya bersedia dan menambah jumlah tempahan kad fleet mereka sebelum menerima tambahan permohonan kelak.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |