Gadis mangsa gelongsoran kayu balak ditidurkan
KUALA KRAI- Penunggang motosikal yang cedera parah akibat dihempap kayu balak yang menggelongsor jatuh dari lori pengangkut di Persimpangan Utama, Jalan Gua Musang, di sini kini ditidurkan.
Mangsa, Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, yang mengalami patah tulang punggung, rusuk dan kecederaan organ dalaman seperti hati, limpa dan usus itu kini dalam pemantauan rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ).
Abang mangsa, Mohamad Azwa, 28, berkata, adiknya ditidurkan sejak petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Katanya, Siti Norelyana kemudian dihantar ke HRPZ untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam pengawasan rapi pakar perubatan.
“Doktor kata akan buat pembedahan tulang belakang, punggung, tulang rusuk, hati, limpa, paru-paru, hempedu yang luka teruk.
“Sekarang doktor tengah merawat bahagian usus dan kemungkinan akan ada masalah juga. Buat masa sekarang ini semangat adik saya sangat kuat apabila dia tengah lawan sakitnya.
“Walaupun dalam keadaan ditidurkan namun dia memberi tindak balas positif pada bahagian kaki dan tangan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.
Dalam kejadian semalam, Siti Norelyana yang sedang berada di persimpangan lampu isyarat parah selepas dirempuh kayu balak yang menggelongsor dari lori pengangkut.
Rakaman video menunjukkan detik-detik mangsa yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sini terperosok di bawah kenderaan dan dihimpit kayu balak.
Mohamad Azwa berkata, ketika melihat video kemalangan yang tular itu, dia tidak menyangka mangsa kejadian adalah adiknya sendiri.
“Semoga ada keajaiban supaya adik akan sembuh kembali dan kami sekeluarga mengharapkan doa orang ramai.
“Mengikut perancangan adik akan melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya pada Disember ini,” katanya.
Sementara itu tunang mangsa, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, berharap supaya orang ramai menghentikan dakwaan palsu berkaitan kejadian dan keadaan tunangnya.
“Di media sosial pelbagai dakwaan dibuat terhadap tunang saya, ada yang kata dia sudah meninggal dan yang paling teruk tuduhan Siti Norelyana mengandung.
“Semua dakwaan itu tidak benar dan saya berharap individu yang bertanggungjawab dapat memadamkan semua ‘posting’ mereka di media sosial.
“Kami mengharapkan doa rakyat Malaysia supaya tunang saya akan sembuh seperti biasa,” katanya berada di HRPZ II.