PM X

Menteri, agensi guna jentera kerajaan semasa berkempen berdepan tindakan disiplin – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan disiplin akan dikenakan terhadap mana-mana menteri atau agensi kerajaan yang terbukti menggunakan jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya.

Menurut Perdana Menteri, keputusan Jemaah Menteri adalah untuk tidak membenarkam sebarang penggunaan jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya khususnya selepas hari penamaan calon.

“Selesai hari penamaan calon, menteri atau timbalan menteri atau mana-mana agensi tidak dibenarkan sama sekali untuk menggunakan jentera kerajaan dalam kempen. Kalau sebelumnya soal lain. Kalau ada bukti yang disampaikan tentunya kita akan ambil tindakan wajar.

“Saya tidak berdolak dolak sama ada sebelah sini (kerajaan) atau sana (pembangkang). Jika ada menteri atau agensi kerajaan gunakan jentera kerajaan semasa kempen, ia sudah melanggar komitmen Jemaah Menteri dan tindakan disiplin mesti diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim sewaktu sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam soalan tambahan beliau, Awang ingin mengetahui sama ada kerajaan bersedia menghentikan budaya seperti pelaksanaan pengumuman projek baharu di sesuatu kawasan yang terlibat pilihan raya.

Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, prinsip tersebut perlu dipegang bagi mengelak budaya rasuah dalam kalangan pemimpin politik.

“Ini ada kaitan dengan prinsip yang kita bawa mengenai budaya rasuah. Jadi kita tak mahu hal ini diteruskan. Tapi kalau penerusan projek sebelum (hari) penamaan calon, itu saya fikir tak perlu dibangkitkan kerana keputusan Jemaah Menteri adalah sebaik penamaan calon, memang tak boleh, itu keputusannya,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH)

Show More

Related Articles

Back to top button