HRD Corp: Siasatan tertumpu kesalahan jenayah – SPRM
PUTRAJAYA – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap agensi milik kerajaan, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) akan tertumpu kepada kesalahan jenayah mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
SPRM dalam kenyataan lewat petang ini berkata, siasatan yang telah dimulakan terhadap HRD Corp dengan mengambil dokumen-dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara dari Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp hari ini.
“Hasil analisis awal mendapati 12 rumusan teguran yang diketengahkan dalam Laporan Audit tersebut.
“Namun begitu, fokus utama siasatan SPRM menjurus kepada elemen-elemen jenayah (criminality) yang tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” menurut kenyataan itu.
Menurut SPRM, siasatan itu tidak akan menumpukan isu-isu kelemahan pengurusan dan ketidak akuran peraturan kerana perkara-perkara tersebut telah dijelaskan dan diperkemaskan oleh pengurusan HRD Corp sewaktu Exit Conference dengan Jabatan Audit Negara sebelum ini.
“SPRM menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa yang mencukupi bagi proses siasatan ini dilaksanakan tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Kenyataan SPRM itu menyusul selepas lima pegawai agensi pihak berkuasa itu hadir ke bangunan KESUMA hari ini.
Sabtu lalu, SPRM mengesahkan telah mengenal pasti beberapa individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkait salah laku, rasuah dan penyelewengan.