Bomba ambil masa sembilan jam selamatkan pendaki jatuh gaung di Gunung Korbu
IPOH – Seorang pendaki wanita terpaksa diusung selama sembilan jam selepas mengalami kecederaan akibat jatuh kira-kira 10 meter ke dalam gaung ketika mendaki Gunung Korbu, dekat sini, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi menyelamat digerakkan pada pukul 4.20 petang semalam sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.29 petang.
Katanya, operasi membawa keluar mangsa yang diketuai oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun bersama 12 anggota serta itu turut dibantu malim gunung.
Beliau berkata, wanita dengan berat badan 90 kilogram itu mengalami kecederaan pada tulang rusuk selepas terjatuh gaung ketika perjalanan turun dari puncak melalui Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini, semalam.
“Mangsa berjaya dibawa keluar dari Hutan Simpanan Kekal itu pada pukul 1.30 pagi tadi sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan lanjut di hospital.
“Mangsa adalah salah seorang daripada 35 peserta yang mengikuti ekspedisi pendakian gunung terbabit dengan diiringi lima malim gunung Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, operasi menyelamat mangsa yang berlanjutan sehingga ke malam berdepan kesukaran ekoran laluan trek mendaki yang curam dan licin selain terpaksa menempuh tiga anak sungai.
“Cabaran lain termasuk tiada talian telefon di lokasi, dengan jarak paling hampir untuk berhubung menggunakan adalah dua jam ke arah keluar atau satu setengah jam ke arah mendaki dari lokasi mangsa.
“Mangsa dikatakan jatuh sewaktu melintas dengan memeluk kayu balak yang tumbang di tebing sungai. Difahamkan, lokasi itu memang sudah berulang kali berlaku kes jatuh,” katanya.