Berita Semasa

MAQIS rampas 21 kilogram sate katak bernilai RM1,500

BAYAN LEPAS – Sejumlah 21 kilogram (kg) sate katak yang dibawa masuk ke negara ini menerusi pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurut MAQIS, produk hasilan haiwan itu dikesan menerusi mesin pengimbas dalam pemeriksaan yang turut dilakukan bersama anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Jelas MAQIS, sate katak yang dianggarkan bernilai RM1,500 itu dirampas hasil pemeriksaan bagasi yang dilakukan terhadap beberapa penumpang dari Myanmar.

“Rampasan ini adalah yang terbesar bagi produk hasilan haiwan setakat Julai.
“Perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit sah adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, MAQIS berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara.

“Kawalan terhadap kemasukan produk hasilan pertanian akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan dan keterjaminan makanan terpelihara,” ujarnya lagi

Show More

Related Articles

Back to top button