Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Isu HRD Corp: KESUMA serah laporan kepada SPRM

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, laporan itu mengandungi isu-isu yang dibangkitkan Ketua Audit Negara dan maklum balas kementerian serta agensi terbabit.

“SPRM telah memberi jaminan bahawa satu siasatan adil dan penuh profesional akan dilaksanakan segera,” katanya memetik laporan Buletin TV3 hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya bagi serahan laporan tersebut sekitar jam 11 pagi.

Khairul Dzaimee berkata, tindakan membuat laporan itu selaras dengan syor dikemukakan Ketua Audit Negara supaya KESUMA membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan termasuk arahan daripada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Terdahulu, Steven dalam kenyataan hari ini memaklumkan, beliau mengambil serius laporan tersebut dan mengarahkan KESUMA serta HRD Corp untuk memberikan kerjasama penuh kepada JAN dan PAC, selain menegaskan pihaknya tiada halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut.

Semalam, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

 

Show More

Related Articles

Back to top button