Berita Semasa

YADIM sokong RUU Mufti Wilayah

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menggesa orang ramai supaya bersama-sama menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan sebagai teras perpaduan umat Islam di Malaysia.

YADIM selepas meneliti petikan kenyataan Mufti Pahang berkata, RUU tersebut bersifat relevan dan penting terutamanya dalam suasana kehidupan masyarakat Malaysia yang berbagai adat dan budaya.

“RUU ini mengekalkan semangat persekutuan yang memartabatkan Majlis Raja-Raja sebagai Institusi yang menaungi agama Islam di negara ini. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang lepas.

“Dari sudut MKI pula, keputusan muzakarah MKI kali ke-106 pada tahun 2014 telah memberi indikasi jelas bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah itu adalah aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, YADIM menekankan bahawa aliran Al-Asyairah di samping Al-Maturidiah, disifatkan sebagai paling terbuka serta fleksibel dengan warisan, adat istiadat dan amalan majoriti umat Islam di negara ini.

Tambah YADIM, kedua-kedua aliran berkenaan juga tidak terlibat langsung dengan sebarang usul ekstrimisme dan berkemampuan untuk mengekang fahaman-fahaman radikal di negara ini.

“Al-Asyairah (sebagaimana Al-Maturidiah juga secara samping menyamping) merupakan aliran diamalkan di Malaysia sejak zaman-berzaman.

“Kesederhanaan aliran itu membenarkan amalan tradisi Raja-Raja Melayu seperti bacaan yasin dan tahlil. Ia tidak jumud dan tiada juga taqiyyah,” ujarnya.

Sehubungan itu, YADIM berkata sokongan terhadap RUU itu selari dengan saranan tokoh-tokoh besar Islam dalam negara mahupun luar negara seperti tokoh ilmuwan dunia, al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi.

YADIM terus komited melestari gerakan dakwah dan memperkasa pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah supaya masyarakat Islam dalam negara terus subur dengan budaya ilmu dan pengamalan dalam kehidupan seharian menepati acuan gagasan Malaysia Madani yang dibawa kerajaan perpaduan hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button