Berita Semasa

USIM anjur Simposium Antarabangsa Malaysia Madani 2024: Islam dan Kesederhanaan 

KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Angkatan Belia Islam (ABIM) telah menganjurkan Simposium Antarabangsa Malaysia Madani 2024: Islam dan Kesederhanaan (SAIK 2024).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, simposium yang berlangsung pada 3 dan 4 Julai 2024 itu menampilkan lebih 15 tokoh terkemuka seluruh dunia.

“Simposium ini diadakan untuk mendalami kefahaman prinsip dan nilai Islam moderat yang menjadi asas kepada idea semasa tentang Islam dan kesederhanaan.

“Selain itu, ia juga penting untuk meneroka strategi dan amalan terbaik memupuk kewujudan bersama secara aman, bersesuaian dengan pengenalan konsep Malaysia Madani sebagai kerangka persada global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan penutup SAIK 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Institut Maqasid Kanada, Prof Jasser Auda; Imam Besar Universiti Al-Azhar, Syeikh Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb; Mufti Australia, Dr Ibrahim Abu Mohamad dan beberapa lagi sarjana jemputan dari dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, simposium itu juga bertujuan untuk menjelaskan peranan institusi pendidikan tinggi dan karya ilmiah serta dialog akademik antara barat dan timur dalam memupuk keadilan sosial, rasa hormat dan persefahaman kepada Muslim moderat menuju abad ke-15 Hijrah.

Turut diadakan Majlis Konvokesyen Khas USIM 2024 yang menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah kepada Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Prof. Dr. Mohammad Ahmad Tayyib Sheikh Al Azhar Al Syarif.

Show More

Related Articles

Back to top button