Rangkaian 5G kedua : Fahmi nafi tuduhan WAF
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi menafikan dakwaan pembangkang bahawa akan wujud konflik kepentingan dalam kalangan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) berhubung pembangunan rangkaian 5G kedua negara.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai pengawal selia projek itu akan memastikan tiada dominasi dalam kalangan MNO.
Katanya, MCMC juga akan memastikan semua MNO mendapat persaingan yang adil dan tidak mempunyai pengaruh dalam Digital Nasional Berhad (DNB) yang ditubuh kerajaan untuk memacu pembangunan 5G.
“Sebagai pengawal selia, peranan MCMC adalah untuk memastikan tiada dominasi antara mana-mana MNO dan kita akan memastikan persaingan yang adil kepada semua (MNO).
“Jadi isu konflik kepentingan tidak timbul. Saya rasa orang yang memberikan maklumat (isu ini) telah tersasar,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz; Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; KSU MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi MIDA, Tan Sri Sulaiman Mahbob.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, dalam pertemuan MCMC dengan pihak pengurusan MNO pada 1 Julai lalu, isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu langsung tidak timbul.
Wan Ahmad Fayhsal (WAF) baru-baru ini menggesa kerajaan menangguhkan rancangan membangunkan rangkaian 5G kedua kerana bimbang wujudnya konflik kepentingan dalam kalangan MNO dan DNB.
Katanya, keputusan kerajaan membenarkan syarikat telekomunikasi yang memperoleh kepentingan dalam DNB dibenarkan memohon untuk dilantik membangunkan projek rangkaian 5G.
Syarikat-syarikat seperti CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications sebnelum ini mengesahkan mereka berjaya memenuhi semua syarat perjanjian langganan saham (SSA) untuk membolehkan mereka memperoleh 70% pegangan kolektif dalam DNB.
Dalam pada itu, MoU MCMC dengan MIDA yang dimeterai pada hari ini bertujuan mempercepatkan manfaat daripada teknologi 5G dalam sektor vertikal dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).