
PRN: Polis Pulau Pinang buka 20 kertas siasatan berhubung isu salah guna kad pengenalan
GEORGETOWN – Polis Pulau Pinang membuka 20 kertas siasatan berhubung isu salah guna kad pengenalan di negeri itu pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan dilaksanakan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Keadaan itu menyebabkan 20 individu tidak dibenarkan mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari Sabtu apabila maklumat peribadi atau kad pengenalan mereka sudah digunakan oleh pihak lain.
“Sehubungan itu, polis membuka 20 kertas siasatan berhubung kejadian tersebut dan kami sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.
Sementara itu, kata Kok Chin, pihaknya menerima 87 laporan membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya di negeri itu sepanjang tempoh berkempen iaitu dari 29 Julai hingga hari pengundian.
Susulan itu, tambahnya, polis membuka 42 kertas siasatan serta dua kertas inkuari dengan kesemuanya masih dalam siasatan lanjut.
Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang tangkapan membabitkan laporan polis atau kertas siasatan yang dijalankan oleh pihaknya.
“Daripada 42 kertas siasatan itu, 20 kes membabitkan isu kad pengenalan atau identiti mereka digunakan manakala kes lain melibatkan khianat iaitu merosakkan sepanduk, bendera atau bahan kempen.
“Kami juga buka kertas siasatan dua kes berkaitan 3R (bangsa, agama dan raja) dan kes membabitkan fitnah terhadap calon, curi bendera, ugutan dan cetak kertas undi,” katanya lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune