Politik

Noh Omar sah sertai BERSATU

CYBERJAYA – Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengesahkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Noh, permohonan itu dibuat beliau secara terus dalam talian tanpa diketahui sesiapa, hari ini.

Kata bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, beliau membuat keputusan berkenaan selepas kecewa dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.

“Saya amat sedih dengan nasib ‘Bossku’ (Najib) dan semalam pihak beliau gagal mencabar titah supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah,” katanya kepada portal Sinar Harian, hari ini.

Kata Noh, keputusan itu mendorong beliau mengubah fikiran untuk menjadi ahli BERSATU dan sudah mendapat sijil keahliannya.

Noh pada masa yang sama mendedahkan, beliau beberapa kali menemui Najib di mahkamah.

“Bossku ada berpesan supaya bersabar dan tidak memasuki mana-mana parti politik.

“Saya menghormati pandangan Bossku yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan berhati besar.

“Apabila dihadapkan ke mahkamah, beliau tidak mempergunakan UMNO dan sanggup meletak jawatan sebagai Presiden parti bagi menghadapi kes beliau secara peribadi.

“Namun, keputusan (mahkamah) ini sudah diramal berlaku dan nasib menimpa beliau amat mengecewakan saya hingga membuat keputusan untuk sertai Bersatu,” katanya lagi.

Noh kemudiannya berkata, hanya Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU boleh menggantikan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Saya lihat UMNO kini macam hidup mati segan tak mahu dan sudah terlalu jauh lari daripada perjuangan asal. Jiwa saya masih UMNO tetapi bukan UMDAP (UMNO dan DAP).

“Saya pilih BERSATU untuk terus berjuang dalam politik dan marilah kita menaiki kapal baharu PN demi agama, bangsa dan negara,” jelasnya lagi.

Pada Januari tahun lalu, Noh dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dipecat daripada UMNO berikutan pelanggaran disiplin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Show More

Related Articles

Back to top button