Kajian mengenai ‘Lemon Law’ dijangka siap September
KUALA LUMPUR – Kajian mengenai perundangan ‘Lemon Law’ yang dimulakan bulan lepas, dijangka selesai September ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kajian melibatkan kumpulan perunding pakar itu dijalankan bagi melihat asas pertimbangan sama ada perlu membuat penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada atau menggubal perundangan baharu.
“Sebagai usaha berterusan, KDPN akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk penganjuran Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 pada 4 Jun,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Armizan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai usaha kerajaan menggubal akta baharu atau meminda akta sedia ada berkaitan Lemon Law bagi melindungi pengguna dalam hal pembelian kenderaan dan tahap kesediaan pemain industri kenderaan terhadap pengenalan perundangan tersebut.
Lemon Law merupakan undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain sebagai penyelesaian terhadap produk yang berulang kali rosak selain gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.
Armizan seterusnya berkata, peruntukan perundangan seid ada yang bercirikan Lemon Law termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) di bawah kawal selia KPDN.
Selain itu, peruntukan undang-undang sedia ada yang mempunyai ciri komponen Lemon Law turut terkandung dalam beberapa akta dan peraturan merentasi kementerian dan agensi di Malaysia seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967.