Berita SemasaPolitik

Tiada peruntukan benar pelucutan kerusi kami berenam – MP Bukit Gantang

TAIPING – Enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sudah menyerahkan surat penjelasan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul susulan notis pengosongan kerusi oleh parti yang diwakili mereka.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, surat tersebut dihantar pada 27 Jun lalu sebagai makluman kepada Speaker bahawa tindakan yang diputuskan parti tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Tujuan sidang akhbar ini adalah supaya rakyat dan masyarakat dapat memahami sikap dan pendirian kami.

“Selama ini, kami tidak ‘respons’ kerana hendak melihat apa sebenarnya yang akan berlaku dan akhirnya senarai nama kami dikeluarkan daripada senarai ahli parti BERSATU.

“BERSATU telah membuat satu tindakan seolah-olah memerangkap dan menganiaya kami. Kerana mengikut pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan anti lompat parti, ada tiga situasi yang boleh menyebabkan seseorang Ahli Parlimen perlu mengosongkan kerusi,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, tiga situasi itu termasuk dalam peruntukan undang-undang di bawah Perkara 49A(1)(a)(i), Perkara 49A(1)(a)(ii) dan Perkara 49A(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun jelas beliau, apa yang berlaku melibatkan ke enam-enam Ahli Parlimen BERSATU yang dilucutkan kerusi tidak termasuk dalam mana-mana peruntukan berkenaan.

Tambahnya, kesemua Ahli Parlimen terlibat tidak pernah melepaskan keanggotaan parti dan tidak pernah membuat keputusan berhubung keahlian di dalam parti.

Bagaimanapun tegasnya, kepimpinan BERSATU telah membuat keputusan berlaku pengosongan kerusi dengan meminda perlembagaan parti itu.

Sementara itu, Syed Abu Hussin yakin Speaker Dewan Rakyat akan meneliti surat yang dihantar sebelum membuat sebarang keputusan.

Pada 20 Jun lalu, BERSATU menerusi satu kenyataan membuat pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen terbabit.

Naib Presiden BERSATU yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan oleh beliau selaku Ketua Whip parti.

Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Daripada tujuh itu, enam adalah Ahli Parlimen iaitu Syed Abu Hussin, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Show More

Related Articles

Back to top button