Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Polis siasat penularan gambar didakwa Zayn Rayyan

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat individu yang bertanggungjawab dalam penyebaran beberapa gambar yang didakwa daripada bedah siasat kanak-kanak Autistik, Zayn Rayyan yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung pendedahan gambar didakwa bahan bukti kes kanak-kanak malang itu.

“Satu laporan polis dibuat Pegawai Penyiasat kes susulan penularan antara gambar bahan bukti kes berkenaan.

“Kita akan mengesan individu yang disyaki terbabit penyebaran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

Beberapa keping gambar melibatkan anggota badan seperti telinga dan tangan didakwa daripada rakaman bedah siasat Zayn Rayyan tular melalui platform Telegram hari ini.

Zayn Rayyan yang ditemui mati di sebatang anak sungai berhampiran kediamannya di Damansara Damai, Petaling Jaya pada 6 Disember lalu sehingga kini masih dalam siasatan polis.

Pada 13 Jun lalu, kedua ibu bapa mangsa, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, didakwa atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak tersebut.

Mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Show More

Related Articles

Back to top button