Berita Semasa

YDPA akan rasmi sambutan Hari Landskap Negara

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim julung kalinya bakal menghadiri majlis perasmian sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2024 yang akan diadakan di Taman Tasik Shah Alam, Selangor mulai 24 Mei sehingga 2 Jun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sambutan yang bertemakan ‘Industri Landskap Pemacu Pembangunan Madani’ itu dianjurkan Jabatan Landskap Negara (JLN) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Penganjuran HLN 2024 adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap landskap terutamanya dalam kalangan generasi muda di samping menyebar luas kepentingan landskap terhadap kesejahteraan kehidupan melalui program pembangunan landskap yang komprehensif.

“Selain itu, ia merupakan salah satu usaha dalam meningkatkan kualiti pembangunan landskap negara dengan mewujudkan kesedaran, menarik minat dan pengetahuan dalam semua pihak terhadap landskap bagi merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Pra-Pelancaran Sambutan HLN 2024 di Taman Persahabatan China-Malaysia, di sini hari ini.

Dalam pada itu, terdapat pelbagai aktiviti dan pertandingan telah dirancang sepanjang HLN 2024 seperti Larian HLN 2024; Pembinaan Arca dari bahan kitar semula; Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak; Pertandingan Mural; Pertandingan Photojournalism dan sebagainya.

Selain itu, Anugerah Rosa Sinensis dan beberapa kategori anugerah lain turut disampaikan sebagai penghargaan di atas pelbagai usaha yang telah dilaksanakan dalam memartabatkan industri landskap negara.

Anugerah Rosa Sinensis merupakan satu pengiktirafan kepada pihak berkuasa mengurus taman-taman awam dan kawasan hijau yang dirancang, dibangun dan diurus secara komprehensif yang memenuhi fungsi pembangunannya.

“Kementerian melalui JLN sentiasa berusaha untuk memperkasakan bagi menyokong perkembangan industri landskap yang turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

“Justeru, ia merupakan usaha untuk memperkasakan industri landskap negara melalui pengukuhan jaringan kerjasama bagi meningkatkan peranan penggiat industri landskap,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button