Perlawanan bola sepak antara pasukan Sanusi dan Akmal meriahkan kempen PRK DUN Sungai Bakap
SUNGAI BAKAP – Satu perlawanan persahabatan antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dijadualkan berlangsung di Taman Pekatra, Nibong Tebal di sini petang ini.
Pertembungan itu bakal menyaksikan PH diketuai oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir bakal berhadapan dengan pasukan PN yang diketuai oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Perkara itu diumumkan Akmal dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.
“Aikk ada pulak dah ‘lipat’ buat U-Turn berminat nak main balik? Baq mai lah.
“Kita sempoi-sempoi ja, main dua game pon boleh. Ayuh pakat turun ramai-ramai petang ni,” tulisnya dalam loghat utara.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Sanusi telah meletakkan pelbagai syarat dan tidak bersetuju untuk bermain dalam perlawanan persahabatan itu.
Bagaimanapun menerusi poster yang dimuatnaik oleh Akmal menerusi komen di Facebooknya menunjukkan perlawanan itu sah akan berlangsung petang ini.
Selain pertembungan menarik itu, satu perlawana antara pasukan Akmal dan pasukan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin akan berlangsung terlebih dahulu di lokasi sama.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PN, Abidin Ismail dan Joohari.
Joohari dan Abidin bersaing dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.