Berita Semasa

Lesen operasi syarikat pelancongan terlibat kemalangan bas digantung

KUALA LUMPUR – Lesen operasi syarikat pelancongan yang terlibat dalam insiden bas membawa pelancong China terbalik di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands semalam, digantung sementara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penggantungan itu berkuat kuasa sehingga siasatan menyeluruh kejadian yang mengorbankan dua nyawa itu selesai.

“Saya telah meminta siasatan sepenuhnya dijalankan dari segi syarikat pelancongan yang difahamkan melantik pihak ketiga.

“Saya juga menerima aduan daripada pelancong mengenai bas disediakan tidak sesuai digunakan apabila bas ditukar sebanyak tiga kali sepanjang enam hari lima malam bercuti.

“Ini membuktikan bas tidak diselenggara dengan baik, menghadapi masalah tiada pendingin hawa dan berbunyi,” katanya kepada pemberita selepas melawat lapan mangsa kemalangan yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

King Sing kemudiannya menambah, satu mesyuarat khas membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan pada 2 Julai nanti.

Antara yang akan dibincangkan termasuk prosedur operasi standard (SOP) membabitkan syarikat pelancongan dan bas persiaran yang di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Keselamatan pelancong adalah keutamaan kami disebabkan itu kementerian sering mengingatkan syarikat pelancongan memberikan kerjasama melakukan langkah perlu bagi tujuan itu.

“Jangan ambil mudah nyawa pelancong semata-mata untuk mendapat untung dalam bisnes,” katanya lagi.

Dalam kejadian semalam, sebuah bas persiaran yang membawa 21 penumpang terdiri 18 pelancong China serta tiga warga tempatan termasuk pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong terbalik setelah terbabas lalu melanggar tembok tengah pembahagi jalan.

Akibat kejadian, dua penumpang warga China, Wang Shuhong, 49, dan Zhang Ping, 58 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala 13 yang lain tercedera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan, pemandu bas berusia 32 tahun ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button