YADIM sedia bantu beri penjagaan, bimbingan terhadap kanak-kanak GISBH
PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr.Mohd Na’im Mokhtar susulan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Global terhadap Global Ikhwan Service dan Business Holding (GISBH), baru-baru ini.
Menurutnya dalam satu kenyataan, YADIM menyokong penubuhan Jawatankuasa Khas di bawah seliaan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai tindak balas segera membantu pihak berkuasa termasuk menyedia input kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI).
“Syabas kepada pihak PDRM yang berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi tersebut.
“Sesungguhnya eksploitasi manusia atas nama agama untuk tujuan apa sekalipun adalah amat buruk dan perlu ditentang bahkan mesti dibenteras apatah lagi membabitkan kanak-kanak,” katanya hari ini.
Dalam pada itu katanya, YADIM juga bersedia membantu memberi sokongan terhadap proses pemulihan, penjagaan dan bimbingan kepada kanak-kanak yang terbabit sesuai dengan fungsi dan peranan YADIM.
Katanya, YADIM berpegang teguh kepada prinsip mqasid syariah yang menekankan penjagaan lima prinsip utama iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dalam menangani isu ini.
“Badan dakwah ini menyeru seluruh organisasi kemasyarakatan dan pertubuhan atas nama agama agar sentiasa menjaga dan memastikan kemuliaan Islam dalam setiap kegiatan dan tidak menjadi fitnah kepada agama.
“Masyarakat diseru berhati-hati dan sentiasa peka serta melaporkan segera kegiatan-kegiatan yang mencurigakan dalam masyarakat walaupun ia dibaluti atas nama agama. Sikap cakna dan ambil tahu akan menyuburkan dan menjadi dasar budaya ilmu yang segar dalam membina masyarakat bertamadun,” katanya.
.