Berhenti bernostalgia, fokus tarik sokongan Melayu – Ismail Sabri
BERA – UMNO tidak boleh bernostalgia dengan kejayaan silam kerana hari ini terbukti orang Melayu semakin menjauhkan diri daripada parti ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon berkata, pilihan raya umum di enam buah negeri telah membuktikan hanya 20 peratus orang Melayu masih bersama UMNO.
Beliau berkata, yang mampu mengembalikan kekuatan ini adalah akar umbi di bahagian dan cawangan dengan terus mendekati komuniti setempat khususnya golongan muda.
“UMNO perlu menarik kembali pengundi teras (Melayu) terutama pengundi 18 tahun yang sukar untuk dikesan.
“Golongan muda ini amat bergantung kepada media sosial dan platform ini harus dikuasai sepenuhnya oleh jentera parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera 2024 di Dewan Kompleks Rakan Muda Daerah Bera hari ini.
Tambahnya, sesungguhnya tonggak kekuatan UMNO adalah di bahagian dan cawangan kerana mereka berada bersama masyarakat sekeliling.