Politik

Pemilihan UMNO: Mahdzir ikrar terus tabur bakti meskipun tewas

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berikrar akan terus menabur khidmat bakti kepada UMNO meskipun  gagal mempertahankan jawatan itu pada Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026.

Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, berkata, beliau berterima kasih kepada semua perwakilan UMNO Bahagian yang telah mengundi beliau.

“Saya secara peribadi menerima dengan hati terbuka dan berlapang dada apabila perwakilan berhasrat untuk memilih kepimpinan baharu di barisan Naib Presiden bagi membantu Presiden dan Timbalan Presiden khususnya dan UMNO secara amnya”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mahdzir yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, beliau juga menghormati setiap keputusan yang telah dibuat oleh perwakilan dalam proses pemilihan kali ini.

Selain itu, beliau juga turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada saf kepimpinan baharu Naib Presiden, ahli-ahli MKT, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Ketua-ketua Bahagian dan cawangan yang dipilih bagi penggal ini.

“Saya juga menyeru kepada semua saf kepimpinan baharu UMNO termasuk di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta seluruh ahli UMNO kekal bersatu padu di dalam parti keramat ini.

“Saya akan meneruskan khidmat bakti saya kepada parti, ahli-ahli UMNO dan juga rakyat sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap dan juga membantu saf kepimpinan di peringkat UMNO Pusat,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Mahdzir menduduki kerusi Naib Presiden UMNO bagi penggal lalu selepas menerima undi daripada 125 Bahagian UMNO pada pemilihan tahun 2018.

Pada Pemilihan UMNO penggal 2023-2026 yang berlangsung serentak di peringkat Bahagian UMNO di seluruh negara kelmarin, Mahdzir memperolehi 42 undi daripada keseluruhan 191 Bahagian UMNO.

Tiga kerusi Naib Presiden UMNO yang dipertandingkan dimenangi oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Show More

Related Articles

Back to top button