PM X

Syed Husin tempat rujukan saya dalam pelbagai hal – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Allahyarham Dr. Syed Husin Ali adalah sebagai seorang sahabatnya dan menjadi tempat rujukan dalam pelbagai hal.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau sangat terkesan dengan pemergian Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu.

“Sayu saat dikhabarkan bahawa sahabat, pemikir, tokoh pejuang parti dan juga guru saya saudara Syed Husin Ali pergi dijemput Ilahi hari ini.

“Saya amat terkesan tatkala saudara Syed Husin adalah watak yang amat rapat dan sentiasa menjadi rujukan dalam pelbagai hal yang mendesak.

“Takziah kepada keluarga almarhum dengan doa agar kuat dan tabah menerima ujian berat ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Syed Husin dilaporkan meninggal dunia di Hospital Selayang awal pagi tadi, pada usia 88 tahun.

Jenazah Syed Husin disolatkan di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya pagi tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara.

Sebagai rekod, Dr Syed Husin pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Timbalan Presiden PKR, Presiden Parti Rakyat Malaysia serta profesor di Universiti Malaya.

Selain itu, beliau juga adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Malaya (UM), Singapura (1956-1959), Master UM, Singapura (1963) dan Doktor Falsafah (PhD) (Sosiologi dan Antropologi) di London School of Economics and Political Science, United Kingdom pada 1972.

Dalam pada itu, Syed Husin pernah menjadi Pegawai Penyelidik Sementara, Agensi Kesusasteraan Bahasa pada 1959 dan Profesor Pengajian Pembangunan Manusia, Institut Pengajian Lanjutan, UM pada 1982 hingga 1985.

Pada pemilihan PKR pada 2004, beliau menang dengan 794 undi bagi jawatan Timbalan Presiden dan mengekalkan jawatan itu pada 2007 selepas menang tanpa bertanding.

Show More

Related Articles

Back to top button