PM terima kunjungan hormat Pengerusi Geely
CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd. (Geely), Li Shufu di pejabatnya di Bangunan Putra Perdana.
Kata Anwar, kunjungan ini merupakan susulan daripada lawatan beliau ke China pada Mac lalu, di mana Geely telah menyatakan komitmen mereka melabur sebanyak RM32 bilion dalam industri automotif negara.
Hadir sama dalam pertemuan tersebut adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan hartawan terkenal, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
“Dalam pertemuan ini, Geely berkongsi perancangan mereka bagi meningkatkan lagi pelaburan di Malaysia, ini termasuklah memperkukuhkan Malaysia sebagai hub pengeluar kenderaan bagi tujuan eksport.
“Sementelahan, Geely akan meningkatkan penyertaan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta penyediaan tenaga mahir tempatan yang selari dengan keperluan industri pada masa hadapan,” kata Perdana Menteri dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, sebentar tadi.
Untuk rekod, Geely merupakan gergasi automotif dunia dan juga rakan kongsi strategik konglomerat Malaysia, DRB-HICOM.
“Moga yang dirancang ini akan membuahkan hasil kepada ekonomi negara, insya-Allah,” kata Anwar lagi.