Kereta hilang kawalan, seorang pemandu wanita maut
BINTANGOR – Seorang pemandu wanita maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai hilang kawalan dalam satu kejadian di Jalan KJD, Batu Wong, di sini hari ini.
Mangsa, Penny Rinta Ngelambong, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM)
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, mayat mangsa kini telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Ketika sampai di lokasi kemalangan, pasukan bomba mendapati kereta yang dipandu mangsa terbalik dan masuk ke dalam parit.
“Hasil pemantauan, pihak bomba mendapati mangsa kepala mangsa tersepit di antara pintu dan tepi parit,” katanya, di sini hari ini.
Jelas beliau, pihaknya berhadapan kesukaran semasa mengeluarkan mangsa dan terpaksa menggunakan takal (winch) bagi memudahkan operasi tersebut.
Katanya, usaha mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan itu mengambil masa 40 minit.
Terdahulu, Nicholas berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 7.15 pagi.
Susulan itu, pasukan bomba terus dikerahkan ke lokasi kemalangan itu yang terletak 24 kilometer dari balai.