Isu BlackRock: Jangan terpedaya dakwaan pempengaruh – Menteri Agama
KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama menggesa orang ramai untuk tidak mempercayai dakwaan sistem pertahanan negara akan dikuasai pihak asing akibat urusniaga membabitkan pelaburan syarikat BlackRock.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, dakwaan tersebut hakikatnya telah menyeleweng dari fakta sebenar.
Jelas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menyatakan pelaburan tersebut tidak mempengaruhi aspek pemilikan dan pengurusan lapangan terbang dan pertahanan negara.
“Sehubungan itu, saya ingin menyeru agar umat Islam tidak terpengaruh dengan dakwaan pempengaruh tersebut yang jelas tidak bersandarkan fakta sebenar.
“Oleh itu, saya mengajak umat Islam di Malaysia untuk mengambil tindakan “tabayyun” iaitu menyelidik dan mendalami kesahihan sesuatu dakwaan dan berita dalam isu membabitkan kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihati umat Islam untuk berhati-hati dengan sumber tidak sahih dan berunsur fitnah yang digunakan individu tidak bertanggungjawab bagi mewujudkan rasa takut dan terancam dalam kalangan masyarakat.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk kesekian kalinya ingin terus menegaskan sikap dan pendirian Kerajaan Malaysia yang kekal bersolidariti bersama perjuangan rakyat Palestin yang kini sedang berdepan dengan kekejaman Israel” ujarnya.