Berita Semasa

KPDN rampas biskut guna logo halal tidak sah

TELUK INTAN – Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Teluk Intan telah mengadakan serbuan terhadap sebuah kilang biskut dan roti selepas disyaki terdapat produk yang menggunakan logo halal tidak sah, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan mempunyai sijil halal yang sah bagi 26 jenis produk makanan biskut dan roti yang dikilangkan untuk jualan.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati satu produk biskut yang dikilangkan dan ditawarkan untuk jualan di premis tersebut tiada dalam senarai sijil halal.

“Sebanyak 35 bungkus produk biskut tersebut yang telah siap dibungkus dengan penandaan logo halal dan dipamerkan untuk jualan kepada pelanggan ditemui di dalam premis berkenaan.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah dihasilkan dengan menyita kesemua 35 bungkus produk biskut, bungkusan kosong yang dicetak logo halal dan beberapa dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, nilai kesemua barang rampasan itu dianggarkan berjumlah RM620.35.

Kes disiasat di bawah Perintah (8)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

“Justeru, pengguna disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat berhubung produk makanan yang dicurigai status penandaan logo halal,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button