Dua kementerian terlibat bangunkan kod etika AI
KUALA LUMPUR – Dua kementerian terlibat dalam membangunkan garis panduan dan kod etika bagi pembangunan dan pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) atau Kod Etika dan Pentadbiran Kecerdasan Buatan (AIGE).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini sedang membangunkan kod etika itu secara bersama sebagai langkah pengawalseliaan pembangunan dan adaptasi teknologi AI yang bertanggungjawab.
Tambahnya, dokumen yang menggariskan panduan khusus berkaitan adaptasi AI itu akan turut menitikberatkan prinsip-prinsip yang selari dengan kehendak agama, budaya, identiti dan perundangan negara.
“Setakat ini, terdapat Jawatankuasa Blockchain dan Kecerdasan Buatan Negara atau National Blockchain and Artificial Intelligence Committee (NBAIC) yang diterajui oleh MOSTI.
“Ia bertanggungjawab dalam menetapkan hala tuju strategik, menyelaras serta memantau inisiatif dalam Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021 – 2025.
“Melalui Jawatankuasa Kerja berkaitan Perundangan dan Etika, urusan merangka penyelesaian perundangan yang mengekang pembangunan inovasi teknologi AI akan dilaksanakan mengikut prinsip dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Gobind berkata demikian dalam jawapannya bertulisnya di Dewan Rakyat, bagi menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas)
Mengulas lanjut, Gobind berkata, kementeriannya juga sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan agensi-agensi Kerajaan lain dalam memastikan penggunaan teknologi AI yang beretika dan selamat.
“Khususnya alam penciptaan kandungan kerana teknologi AI mempunyai potensi besar untuk merevolusikan industri kandungan,” katanya lagi.