Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Dalang sindiket kontena terbang ditahan reman

PUTRAJAYA – Seorang lelaki warga Singapura yang dipercayai dalang kes ketirisan berjumlah RM3.5 bilion daripada sindiket kontena terbang ditahan reman selama enam hari hari ini.

Suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa untuk melepaskan barang-barang import oleh syarikat-syarikat milikannya supaya tidak dikenakan bayaran cukai.

Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dan perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 30 Jun 2024 dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024.

“Siasatan awal mendapati wang tersebut diberikan kepada kesemua pegawai penguat kuasa secara tunai.

“Sehingga kini dipercayai seramai 11 pegawai penguat kuasa yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a) dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini seramai 34 pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan menerusi Op Samba 2.0 dan 11 pegawai di Pelabuhan Klang, Selangor berkait sindiket itu.

Susulan itu, SPRM berjaya merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai-pegawai kastam terbabit.

Show More

Related Articles

Back to top button