Berita Semasa

Malaysia ulangi pendirian gesa gencatan senjata kekal di Palestin

KUALA LUMPUR – Malaysia mengulangi pendirian bahawa gencatan secara kekal di Palestin mesti dilakukan sekarang bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai, daripada berterusan, tegas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut Mohamad Hasan, keutamaan pada masa ini adalah untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai, khususnya membabitkan wanita dan kanak-kanak di Gaza.

“Kekejaman ini mesti diberhentikan sekurang-kurangnya pembunuhan diberhentikan. Lepas tu macam mana nak cerita kita cerita.

“Namun apa yang berlaku bukanlah (pembunuhan) diberhentikan, tetapi makin hari makin dibunuh,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

https://www.tiktok.com/@malaysiatribune/video/7383920554677406983?_t=8nSTy6ajsm2&_r=1

Terdahulu, Abdul Hadi bertanyakan sama ada kerajaan akan menyemak semula pendirian negara terhadap sokongannya kepada penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik di Palestin, ketika rejim Israel terus berkeras menolak cadangan disokong banyak negara itu.

Tambah Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, Malaysia mengambil pendekatan dengan menyokong sebarang usaha antarabangsa untuk mengakhiri konflik di Gaza yang telah berlarutan sejak Oktober tahun lalu, dan ia termasuk langkah penyelesaian dua negara.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, harapan kini bergantung kepada cadangan gencatan senjata bagi menamatkan perang di Gaza yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan telah diterima Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini.

Sebagai rekod, usul tersebut disokong 14 daripada 15 negara anggota dengan Russia mengambil pendirian berkecuali, mengalu-alukan cadangan gencatan senjata tiga fasa.

“Saya sendiri ada berjumpa sendiri dengan (Setiausaha Negara AS, Antony) Blinken di Amman (Jordan) dan saya tegaskan kepadanya “bola kini dalam tangan anda”.

“Kita mahu supaya usul dia yang diterima PBB itu dilaksanakan. Sama ada Israel terima atau tidak terima, terpulang kepada AS, sebab mereka bersekutu, dan sekutunyalah yang sepatutnya memastikan sekutunya Israel itu penuhi dan mematuhi resolusi yang sudah dibuat Majlis Keselamatan PBB,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button