Kementerian Pertahanan sasar salur geran SPKLB kepada 200 veteran ATM
MUAR – Kementerian Pertahanan menyasarkan untuk menyalurkan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada 200 usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun ini.
Menurut Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), sasaran itu dipacu oleh beberapa inisiatif yang sedang dilaksana PERHEBAT hasil kolaborasi bersama empat institusi perbankan negara.
Katanya, ia membabitkan Agrobank, Affin Islamic Bank, Bank Muamalat Malaysia dan Bank Simpanan Nasional yang menyediakan latihan dan insentif perniagaan kepada veteran ATM.
“Pada tahun 2024, manfaat PUVET ATM akan dilebarluaskan ke seluruh negara untuk mengenalpasti dan memadankan bentuk bantuan serta bimbingan keusahawanan yang diperlukan oleh veteran.
“Untuk tahun ini, Kementerian Pertahanan menyasarkan seramai 200 usahawan veteran ATM akan dapat dipadankan sebagai penerima geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, seramai 20 usahawan veteran ATM Johor telah menerima geran SPKLB bernilai RM100,000 menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) peringkat Johor yang telah diadakan di sini hari ini.
Penyerahan geran itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
“Program yang dilaksana PERHEBAT itu memfokuskan kepada pemerkasaan veteran dalam kerjaya kedua khususnya keusahawanan bagi membantu veteran dalam kelompok B40 untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
“Ia juga berperanan sebagai pemudahcara dan penghubung untuk mengenalpasti dan menyalurkan insentif keusahawanan yang merangkumi khidmat kepakaran, fasiliti, geran dan latihan yang diperlukan oleh usahawan veteran ATM untuk memajukan perniagaan mereka,” ujarnya.
Jelasnya lagi, menerusi program itu veteran turut menikmati manfaat seperti pemadanan perniagaan (business matching), akses terus kepada insentif keusahawanan serta konsultansi dalam aspek pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran.
Dalam pada itu, kementerian bersama PERHEBAT juga telah memeta kerjasama dengan beberapa kementerian bagi memastikan inisiatif itu dapat dinikmati dengan lebih inklusif.
Kementerian yang terbabit adalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Ekonomi.