KESUMA lancar inisiatif Wanita MyWIRA
KELANA JAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini melancarkan inisiatif Wanita MyWIRA yang bertujuan mengurangkan jurang tenaga kerja antara lelaki dan wanita di Malaysia.
Inisiatif dibawah pelaksanaan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) ini disasarkan menjadi sebuah hub yang akan memperkasa wanita serta menstruktur kesemua program wanita.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kerangka Ekonomi MADANI telah mensasarkan kepentingan penglibatan wanita dalam tenaga kerja sebanyak 60 peratus, namun pertumbuhan kadar tersebut masih lagi rendah iaitu sebanyak 56.3 peratus pada suku tahun ke-empat 2023.
“Memandangkan negara kekurangan maklumat dan data bagi guna tenaga dalam kelompok wanita yang telah berhenti kerja dan sebaliknya, adalah penting untuk kita mempunyai data yang sebenar dan khusus bagi membantu mereka.
“Justeru, TalentCorp telah dipertangunggjawabkan melalui inisiatif Wanita MyWIRA untuk melakukan transformasi pendigitalan Program Kembali Berkerjaya (CCP) yang akan memudahcara insentif percukaian serta mengumpul data sebenar dalam usaha untuk menarik minat dan meningkatkan kedudukan wanita disamping memperkukuh kerjasama rentas agensi di bawah KESUMA,” katanya.
Steven berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan inisiatif tersebut di sebuah hotel, di sini hari ini.
Pelancaran inisiatif ini turut seiring dengan pelaksanaan sambutan Hari Wanita Sedunia TalentCorp yang berlangsung dari 2 hingga 9 Mac di sini.
Terdapat pelbagai aktiviti disajikan bagi menyuntik semangat penyertaan wanita berkemahiran termasuk Konvensyen Kerjaya Wanita pada 9 Mac nanti.
Konvensyen tersebut turut menawarkan perkhidmatan penulisan resume, bengkel temuduga pekerjaan, serta sesi perkongsian berhubung nilai DEI.
Antara syarikat-syarikat yang turut bekerjasama dalam menjayakan konvensyen tersebut termasuk Hiredly, Kiddocare, ManagedCare, British Petroleum, DHL, Exxon Mobil dan sebagainya.
Maklumat lanjut mengenai Inisiatif dan Program WanitaTalentCorp, boleh dilayari di laman web berikut.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune