Berita Semasa

Anggota polis maut dihempap pokok tumbang

LAHAD DATU – Sebatang pokok tumbang telah menghempap maut seorang anggota polis berpangkat koperal di Jalan Felda Sahabat 16, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, mangsa dilaporkan dalam perjalanan dari arah Komtek Sahabat 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) menuju ke Pantai Sahabat 16 ketika kejadian itu berlaku.

“Sebaik tiba di lokasi, sebatang pokok yang berada di bahu kanan jalan tiba-tiba tumbang dan menghempap van dipandu mangsa.

“Kejadian itu turut disaksikan seorang lagi anggota polis yang sedang menunggang motosikal dari arah bertentangan dan hasil pemeriksaan mangsa telah meninggal dunia di lokasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 44 tahun telah disahkan meninggal dunia di lokasi.

Menurut Dzulbaharin, sampel darah mangsa telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu bagi ujian selanjutnya.

Kini, kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian ini juga diminta tampil bagi menyalurkan maklumat dan boleh berhuhung terus kepada pegawai penyiasat, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu,” ujarnya.

Sementara itu, Dzulbaharin turut menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden tersebut dan menegaskan siasatan kes akan dilakukan dengan segera bagi memudahkan urusan keluarga mangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button