MCMC, Microsoft Malaysia meterai MoU dalam pembangunan AI
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Microsoft Malaysia hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik dalam pembangunan teknologi bidang Kecerdasan Buatan (AI).
Menurut MCMC, perjanjian dimeterai oleh Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K. Raman itu disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
“MCMC dan Microsoft Malaysia akan bekerjasama untuk meneroka manfaat sosioekonomi AI, termasuk usaha untuk mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan dengan pengetahuan AI dan kemahiran digital.
“Selain itu, kerjasama ini juga akan menyaksikan penerimagunaan perisian Microsoft oleh pihak MCMC bagi merintis penggunaan AI, serta pendekatan kepada penerimagunaan AI yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tan Sri Mohamad Salim menyifatkan kerjasama strategik dalam bidang AI itu sebagai langkah yang tepat dan sesuai dengan keadaan dunia teknologi yang kini semakin berkembang.
Katanya, teknologi AI mempunyai potensi untuk mengubah kehidupan selain juga meluaskan ekonomi negara pada masa akan datang.
Sementara itu, pihak MCMC hari ini turut melancarkan program MCMC – Microsoft AI TEACH di mana latihan dan pensijilan dalam kemahiran AI diberikan kepada ahli komuniti berhampiran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Program berkenaan memberi tumpuan kepada empat modul utama iaitu pengenalan kepada AI, pengenalan kepada AI janaan, penggunaan AI untuk meningkatkan kebolehpasaran dan penggunaan beretika untuk AI.
Setakat ini, seramai 1,600 ahli komuniti NADI khususnya golongan rentan dilaporkan menyertai program tersebut.
Jelas MCMC, peserta akan mengikuti kelas secara fizikal selama dua hari sebelum penganugerahan sijil.
Sehubungan itu, program tersebut dikatakan akan membantu meningkatkan kebolehpasaran 1,000 orang peserta melalui inisiatif padanan pekerjaan MyFutureJobs di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).