Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Bermula dari rumah, Azack Pizza kini satu jenama rangkaian

CYBERJAYA – Selepas mengalami kerugian dalam perniagaan akibat pandemik Covid-19, sepasang suami isteri bangkit menjadi usahawan berjaya dan sehingga kini telah melahirkan lebih 20 usahawan komuniti di Selangor.

Siti Rokhiyah Robidi dan suami, Mohd Khairil Azrin Rafli memulakan perniagaan Azack Pizza sebagai percubaan untuk berniaga dari rumah.

Siti Rokhiya berkata, perniagaan pizza yang diusahakan itu bukanlah penglibatan kali pertama mereka dalam perniagaan makanan malah telah beberapa kali gagal sebelum ini.

“Suami saya telah memberikan idea tentang penjualan pizza dari rumah dan kami berdua telah cuba untuk menghasilkannya bermula hanya dengan tiga kilogram tepung.

“Alhamdulillah pizza dengan citarasa Malaysia mendapat sambutan baik daripada orang ramai. Ada yang memberi komen sangat positif dan kami dapat bertahan selama empat tahun sehingga hari ini,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Azack Pizza kini mempunyai rangkaian kiosk di Pasaraya Lotus, jualan produk pizza sejuk beku di beberapa kedai Mesra Petronas.

Lebih membanggakan, perniagaan mereka juga kini berjaya dikembangkan dengan melahirkan 20 orang kumpulan usahawan yang diberi gelaran, Pizzapreneur Azack Gangstar.

Mohd Khairil berkata, Azack Pizza juga telah mendapat pengiktirafan sebagai syarikat peneraju Yayasan Hijrah Selangor, sebuah badan di bawah kerajaan negeri untuk membantu usahawan di negeri Selangor.

“Usahawan komuniti Azack Gangstar hanya berniaga dari rumah dan membuat penghantaran pizza melalui platform aplikasi Azack Pizza dan juga dilengkapi dengan platform aplikasi pesanan makanan lain untuk membuat jualan.

“Idea ini adalah untuk melahirkan perniagaan yang mesra keluarga tanpa membazir masa di luar. Usahawan juga hanya perlu membakar pizza selama 5 minit sahaja dan terus membuat penghantaran kepada pelanggan,”tambahnya lagi.

Mohd Khairil berkata, produk Azack Pizza telah mendapat banyak pujian dari pelanggan kerana kelainan doh pizza yang diperbuat dengan campuran minyak zaitun dan bahan berkualiti yang memberikan rasa tersendiri.

“Alhamdulillah, pizza kami telah mendapat tempat di hati pelanggan, kami juga ingin mengembangkan rangkaian ini supaya lebih ramai yang boleh menikmati Azack Pizza.

“Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui peluang perniagaan bersama kami boleh mendaftar di laman web rasmi www.azackpizza.com.my,’ katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button