Berita Semasa

Harga telur turun 3 sen sebiji berkuatkuasa hari ini

PUTRAJAYA – Berkuatkuasa hari ini, harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Beliau berkata, perkembangan semasa menunjukkan berlaku penurunan kos input pengeluaran telur ayam khususnya bahan asas kepada makanan ayam.

“Kerajaan memutuskan supaya harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji.

“Kini, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuatkuasa mulai Isnin, 17 Jun 2024,” katanya dalam satu kenyataam hari ini.

Dalam pada itu Anwar berkata, penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada tahun lalu peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta.

Pada masa sama, katanya, harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Labuan juga akan diselaraskan mengikut bahagian dan zon yang diwartakan.

“Ingin saya tegaskan, masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani Kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan dampak yang buruk ke atas kehidupan harian rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri telah menggerakkan Ops Tiris yang telah berlangsung sejak 1 Mac lalu yang bertujuan membanteras permasalahan penyelewengan minyak diesel bersubsidi tatkala ia memanfaatkan pihak yang tidak layak.

Perdana Menteri berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah RM14,208,824.00 telah dirampas.

“Justeru, atas hasil dan perkembangan yang baik dari ops tersebut, maka Ops Tiris 3.0 dijalankan dengan skop yang diperluas mencakup barang-barang kawalan lain iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg 1KG, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).

“Sehingga 14 Jun 2024, sejumlah RM12,956,089.96 nilai barang kawalan telah dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan yang tertinggi yang diseludup dan diseleweng.

“Lantaran itu, Kerajaan Madani akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut menegaskan bahawa subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.

Malah, katanya, kerajaan masih perlu menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung.

“Tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak.

“Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak kerajaan mengambil alih tampuk kepimpinan meski harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890/mt.

Sebagai contoh katanya, dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215/mt dan April RM4,256/mt, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga RM33-RM35.

 

Show More

Related Articles

Back to top button