TPM Fadillah ucap Selamat Hari Bapa
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengucapkan Selamat Hari Bapa yang disambut hari ini kepada semua insan yang bergelar bapa.
“Sempena Hari Bapa yang disambut pada 16 Jun tahun ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa untuk setiap insan bergelar bapa, ayah, abah, baba, papa, walid, abi, appa, apak, daddy atau apa sahaja gelaran yang digunakan dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang.
“Insan hebat ini hanya mahukan keluarganya dilindungi, hidup bahagia dan sempurna walaupun dirinya terpaksa berkorban jiwa raga. Seperti juga ibu, kasih sayang setiap bapa tanpa syarat, pengorbanan mereka tanpa batas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut mendoakan agar semua anak-anak di Malaysia sentiasa berbakti kepada kedua ibu bapa, sama ada ketika hayat mereka mahupun setelah mereka tiada.
Hari Bapa yang disambut pada setiap Ahad minggu ketiga Jun adalah bagi menghargai peranan, jasa dan pengorbanan seorang ayah yang menjadi pelindung keluarga.