Dakwaan kertas siasatan bocor, keluarga Zayn Rayyan akan buat laporan polis – peguam
KUALA LUMPUR – Keluarga kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin akan membuat laporan polis susulan penyebaran yang didakwa butiran siasatan berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak itu tersebar di media sosial.
Peguam yang mewakili keluarga berkenaan, Fahmi Abd Moin berkata, penyebaran maklumat berkenaan adalah fitnah jenayah.
“Pihak keluarga mempertimbangkan untuk membuat laporan polis berhubung penyebaran maklumat berkenaan.
“Penyebaran itu lebih kepada fitnah jenayah,” katanya memetik laporan Buletin TV3 hari ini.
Terdahulu, Bukit Aman akan menjalankan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, penyebaran maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya sedemikian adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.
Berikutan itu, katanya pihaknya akan menghubungi MCMC bagi menyekat penyebaran maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu perjalanan perbicaraan kes kanak-kanak itu.
Semalam, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, pada jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.