Kes Zayn Rayyan belum selesai, pencarian pembunuhan sebenar masih berjalan – peguam
PETALING JAYA – Siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan masih berjalan dan persoalan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu boleh dituduh semula atau tidak bergantung kepada hasil siasatan.
Peguam yang mewakili bapa Zayn, Fahmi Abd Moin berkata, siasatan mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan tidak akan terhenti sehingga penjenayah sebenar dibawa ke muka pengadilan.
“Siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih diteruskan. Tapi hari ini ibu bapa Zayn didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen hari ini,” katanya kepada media di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.
Terdahulu, pasangan ibu bapa Zayn, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun didakwa atas tuduhan mengabai kanak-kanak autistik dalam kejadian Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, antara jam 12 tengah hari 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.
Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin, selain diarahkan melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes.