Selepas TMJ, Menteri Besar Johor pula mahu pulangan hasil cukai dinaikkan
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon sekurang-kurangnya 30 peratus daripada hasil cukai negeri itu disalurkan untuk pembangunan negeri itu.
Dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau petang tadi, Onn berkata, permohonan itu penting untuk memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan hasil negeri untuk pembangunan yang lebih baik.
“Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Selari dengan dengan titah DYAM Pemangku Sultan Johor baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar sekurang-kurangnya 30% hasil cukai negeri diberikan kepada Negeri Johor, ” katanya.
Menurut Onn, permohonan itu telah dibuat semasa sesi terima mengadap Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron; Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Dato’ Shahrol Anuwar bin Sarman.
Katanya, antara perkara lain yang dibincangkan pada pertemuan itu adalah mengenai cadangan pembinaan persimpangan bertingkat baharu di Link Kedua, projek pembinaan baraj dan takungan air pinggiran sungai di Sg Sedili Besar dan program pemuliharaan Sungai Skudai di daerah Kulai dan Johor Bahru.
“Turut dibincangkan adalah projek khas berimpak tinggi negeri Johor iaitu cadangan pembangunan Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) bagi sistem pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia dan cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) dari Mersing – Kota Tinggi – Johor Bahru.
“Semoga dipermudahkan segala urusan. Insya-Allah,” katanya.
Pada Ahad lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail
bertitah bahawa Johor perlu memerlukan 20 peratus daripada hasil kutipan cukai berjumlah RM40 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan negeri itu.
Titah baginda, jumlah hasil cukai yang diterima oleh negeri itu pada masa kini hanyalah satu peratus.
Baginda juga menyifatkan Negeri Johor tidak perlu ‘mengemis’ untuk mendapatkan peruntukan tersebut.