Isu kebajikan mahasiswa, TVET antara dibangkitkan dalam mesyuarat EXCO Pendidikan negeri dan KPT
PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini menghadiri Mesyuarat Bersama EXCO Pendidikan Negeri dan Timbalan EXCO Pendidikan Negeri di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.
Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata, mesyuarat itu yang pertama kali diadakan turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud serta pengurusan tertinggi KPT.
“Kesemua EXCO dan Timbalan EXCO ini bertanggungjawab berkenaan hal ehwal pendidikan tinggi di negeri masing-masing. Ini merupakan mesyuarat rasmi pertama yang diadakan.
“Dalam mesyuarat tersebut, kementerian telah berkongsi serta menyalurkan maklumat kepada pihak kerajaan negeri berkaitan perkembangan semasa dan hala tuju terkini pendidikan tinggi negara termasuklah perancangan membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035,” katanya dalam satu kenyataan.
Melalui platform itu juga katanya, pihak kerajaan negeri berpeluang mengetengahkan isu dalam pelaksanaan operasi pendidikan tinggi di negeri masing-masing.
Beliau berkata, antaranya berkaitan
kebajikan mahasiswa, pemerkasaan Institut Pendidikan Tinggi Negeri (IPTN), pengukuhan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kolaborasi industri serta peluang kerjasama dalam mengukuhkan hubungan strategik antara KPT dan kerajaan negeri bagi memastikan ekosistem sektor pendidikan tinggi negara pada tahap yang terbaik.
“Saya juga memberi komitmen bahawa pihak kementerian mempunyai perancangan jangka panjang dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara dan ini memerlukan usaha sama yang berterusan dengan kerajaan negeri sepertimana yang dilakukan sebelum ini oleh KPT yang mengadakan kerjasama merentasi kementerian.
“Pertemuan seperti ini juga akan diadakan secara berkala bagi membincangkan perihal pendidikan tinggi negara dari semasa ke semasa,” ujarnya.