Calon Kerajaan Perpaduan bagi PRK Kepala Batas diumumkan minggu depan
SEPANG – Calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, akan diumumkan minggu depan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan meminta Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk menetapkan tarikh sesuai bagi membuat pengumuman berkenaan.
“(Soal calon) yang itu kita dah senaraikan dan kita ambil calon yang layak, ramai yang layak dan insya-Allah kita umum pada minggu depan.
“(Mengenai) tarikh, saya minta Timbalan Presiden (PKR), Rafizi Ramli untuk umum, tengok tarikh yang sesuai minggu depan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini. Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 5 Julai.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.