Berita Semasa

Import komponen elektronik ke Rusia, AS kenakan sekatan ke atas syarikat Malaysia?

KUALA LUMPUR – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) difahamkan mengenakan sekatan ke atas sebuah syarikat pengeluar semikonduktor di Malaysia kerana didakwa menghantar bahagian elektronik penting dan komponen kepada Russia.

Laporan al Jazeera menyebut, Jatronics Sdn Bhd yang berpusat di Kuala Lumpur adalah antara 300 entiti dalam senarai sekatan AS kerana hubungan mereka dengan pembekal tentera Russia.

Laporan itu, yang memetik seorang jurucakap Jabatan Negara AS, mengatakan beberapa bahan yang dihantar oleh syarikat itu ke Russia termasuk item Tahap 1 dalam Senarai Item Keutamaan Tinggi Jabatan Perdagangan AS.

Item Tahap 1, kata laporan itu, merujuk kepada barangan “yang paling membimbangkan kerana peranannya yang kritikal dalam pengeluaran sistem senjata berpandu tepat canggih Russia, kekurangan pengeluaran domestik Russia, dan pengilang global yang terhad.”

“Jatronics membekalkan komponen ini kepada syarikat yang berpangkalan di Russia yang membekalkan kompleks industri ketenteraan Russia,” kata jurucakap berkenaan dalam laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan bahawa pegawai AS tidak mengesahkan jika komponen yang dihasilkan oleh Jatronics digunakan dalam peralatan ketenteraan Russia.

Menurut Center for Advanced Defense Studies (C4ADS), sebuah badan pemikir yang berpusat di Washington, Jatronics telah membuat lebih dari 50 penghantaran kepada syarikat di Russia bernilai lebih dari AS$3 juta antara April 2022 dan September tahun lalu.

Laporan itu menyatakan bahawa bahan-bahan berkenaan termasuk cip mikro, semikonduktor, dan wafer silikon, yang menjadi bahan mentah untuk membuat semikonduktor.

Jatronics, menurut data C4ADS, membuat penghantaran kepada lapan syarikat berbeza di Rusia, termasuk OOO Planar, yang dikenakan sekatan oleh AS pada Mac 2022.

Sejak Disember tahun lalu, AS telah turut mengenakan sekatan terhadap empat syarikat yang berpangkalan di Malaysia kerana didakwa menyediakan komponen untuk program senjata Iran khususnya untuk membantu dalam pengeluaran dron.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button