Peranan wanita dalam Tentera Darat setara lelaki – PTD
KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Wanita Tentera Darat dengan bertemakan Wanita Tentera Darat, Aspirasi Angkatan Hadapan disambut dalam suasana meriah di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, di sini kelmarin.
Majlis itu yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Tentera Darat (JKHEWTD) dengan kerjasama Sel Wanita Tentera Darat telah dihadiri oleh 500 srikandi Tentera Darat Malaysia yang terdiri daripada semua Kor dan Rejimen.
Menurut Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan, sambutan Hari Wanita itu dimulakan dengan forum bertajuk Memperkasa Daya Ketahanan Wanita Tentera Darat Dalam Mendepani Cabaran Masa Hadapan.
“Forum ini menampilkan barisan ahli
panel dan moderator yang sangat hebat.
“Forum yang dikendalikan oleh Leftenan Kolonel Dr. Ts. Maimunah Omar selaku
moderator telah berlangsung selama dua jam bersama-sama ahli panel iaitu Datuk Dr. Kamaruddin, Mejar Jeneral Datuk Suriakala Suriabagavan (B) dan Brigedier Jeneral Fadzilah Abdullah,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada sesi seterusnya, katanya, para srikandi Tentera Darat Malaysia berkesempatan untuk berdiskusi dalam sesi dialog bersama Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri
Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Katanya, PTD turut menyatakan peranan wanita pada masa kini di dalam organisasi tidak dapat disangkal lagi dan peluang untuk kemajuan dan peningkatan kerjaya yang diberikan setara dengan pegawai dan anggota lelaki.
Turut hadir adalah Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Darat merangkap Penasihat JKHEWTD, Mejar Jeneral Datuk Norsham Md Tap; barisan Pengarah-pengarah dan Pengerusi Hal Ehwal Wanita Kor dan Rejimen.