Berita Semasa

Pendaki Malaysia maut ketika mendaki gunung tertinggi di Amerika Utara

TALKEETNA – Seorang daripada tiga pendaki Malaysia maut ketika mendaki Gunung Denali, Alaska yang merupakan puncak tertinggi di Amerika Utara.

Mangsa, Zulkifli Yusof, 37, disahkan meninggal dunia pada 29 Mei lalu ketika berlindung di dalam sebuah gua pada ketinggi 19,700 kaki sejak dua hari lalu.

“Punca kematian disyaki High Altitud Cerebral Edema dan Hyporthermia akibat kesejukan melampau.

“Jenazah kini masih berada di tempat kejadian dan proses mengeluarkan jenazah mungkin mengambil masa untuk menunggu cuaca baik,” menurut kenyataan oleh Kelab Jelajah Alpine Malaysia semalam.

Sementara itu, seorang lagi pendaki, Illaham Ishak, 47, berjaya diselamatkan setelah berjaya turun ke kem 5 untuk meminta bantuan.

Illaham yang merupakan Presiden Kelab Jelajah Alpine Malaysia kini sedang dirawat di hospital kerana mengalami frostbite.

Menurut kenyataan kelab, pihak penyelamat telah membuat beberapa percubaan untuk mengeluarkan mereka sebelum ini menggunakan helikopter namun tidak berjaya kerana faktor cuaca yang berkabus dan angin kencang.

“Pihak konsular Malaysia di Los Angeles telah dimaklumkan dan mereka akan membantu mangsa untuk proses seterusnya.

“Pihak keluarga juga telah dimaklumkan dan kami ingin ucapkan takziah dan mohon rakyat Malaysia mendoakan mangsa,”katanya.

Pada 28 Mei lalu, kumpulan pendaki Malaysia itu menghantar isyarat kecemasan setelah seorang daripada mereka dilaporkan cedera di kaki dan terkandas di kawasan dikenali sebagai “Football Field” kira-kira 200 meter dari puncak Denali.

Show More

Related Articles

Back to top button