Jenayah & Mahkamah

Bot kargo bawa barang kawalan tanpa permit ditahan

TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo selepas disyaki membawa muatan pelbagai barang kawalan tanpa permit pagi semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot ronda Maritim Malaysia dalam Op Pluto Timur dan Op Tiris berjaya mengesan sebuah bot kargo mencurigakan bergerak keluar dari perairan Tanjung Batu menuju ke perairan Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan di kedudukan 1.5 batu nautika utara Sungai Pukol itu mendapati seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun bertindak selaku nakhoda bot mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Muatan barang kawalan yang dibawa bot kargo terbabit tanpa permit.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas bot mendapati bot membawa muatan 48 kilogram gula pasir, 34 kilogram minyak masak, dua tong gas LPG dan tiga gelen minyak petrol dalam anggaran 90 liter tanpa sebarang permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, bot kargo, muatan serta nakhoda bot terbabit kemudiannya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Kesemua barang rampasan termasuk bot kargo, enjin dan muatan itu dianggarkan bernilai RM24,000.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tidak memiliki permit.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

Show More

Related Articles

Back to top button