Penduduk Pulau Gaya tangkap buaya guna tali
KOTA KINABALU – Seekor buaya berukuran kira-kira empat meter ditangkao di Kampung Lok Baru, Pulau Gaya di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Kassim Muda berkata, buaya yang disedari kehadirannya oleh penduduk kampung ditangkap hanya dengan menggunakan bot dan tali.
“Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 4.30 petang dan telah menggerakkan pasulan dari Balai Polis Pulau Gaya.
“Siasatan awal mendapati, penduduk kampung telah melihat kelibat buaya tersebut di perairan kampung berdekatan sebelum berpakat beramai-ramai menangkap buaya terbabit menggunakan tali dan bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kassim berkata, reptilia terbabit kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk tindakan lanjut.
“Anggota Balai Polis Pulau Gaya bersama penduduk kampung telah membantu anggota JPAM mengangkat buaya tersebut ke bot untuk tindakan pihak JPAM selanjutnya,” katanya.
Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 5.30 petang.