Jenayah & Mahkamah

Tujuh masih direman bantu siasatan kes serangan balai polis

JOHOR BAHRU – Tujuh individu masih direman bagi membantu siasatan berhubung insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lalu yang mengorbankan dua anggota.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, siasatan masih giat dijalankan dan sebarang perkembangan baharu akan dimaklumkan.

“Kita akan segera maklumkan sebarang perkembangan baharu. Namun kita harap masyarakat beri ruang kepada polis untuk jalankan siasatan,” katanya kepada portal Sinar Harian, hari ini.

Sabtu lalu, tujuh individu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di sini, awal pagi Jumaat lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun, yang ditahan sejak Jumaat lalu, susulan serbuan dilakukan di kediaman keluarga suspek awal selepas kejadian berlaku.

Selain itu, dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian turut direman kerana dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.

Dalam kejadian serangan pada pukul 2.54 pagi tersebut, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

Show More

Related Articles

Back to top button